Kereta terbakar, dua mangsa selamat

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

LAWAS, Sept 27: Berpantang maut sebelum ajal.

Begitulah yang terjadi ke atas seorang lelaki dan wanita selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Bukit Suling, Jalan Trusan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, kedua-dua mangsa dilaporkan selamat selepas dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Mohd Ikhwan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 12.16 tengah hari.

Katanya, sejurus itu, sepasukan lima anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan terbakar selepas terbabas di bahu jalan berkenaan.

“Anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran itu dan api berjaya dikawal pada pukul 12.43 tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Mohd Ikhwan menambah, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.50 tengah hari selepas keadaan di lokasi kemalangan terkawal,” katanya. ā€” DayakDaily