Guru lelaki rugi RM8,620 ditipu Macau Scam

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 29: Seorang guru lelaki lesap wang sebanyak RM8,620 selepas disyaki tertipu dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berumur 28 tahun telah diperdayakan suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Nafi Bin Ahmad” dari Mahkamah Kuala Terengganu.


Katanya, suspek mengatakan mangsa mempunyai saman tertunggak kad kredit Maybank berjumlah RM10,580.88 kerana maklumat peribadi mangsa telah disalahgunakan oleh orang lain dan kes itu akan diserahkan ke IPKTerengganu.

“Selepas itu mangsa terima panggilan dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Sjn Adli Bin Arshad” dari IPK Terengganu yang mengatakan bahawa butiran mengenai diri mangsa telah terdedah dan disalahgunakan oleh pihak ketiga untuk melakukan kesalahan berkaitan kes penyeludupan dadah dan penyelewengan wang haram.

“Lelaki itu turut mengatakan tindakan akan diambil ke atas mangsa kerana kes itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa Kamal menambah, talian telefon kemudian disambungkan kepada “Insp Samsul Anuar” yang mengatakan boleh membantu mangsa menguruskan kes penyeludupan dadah dan penyelewengan wang haram itu, dengan syarat mangsa memberikan kesemua dokumen berkaitan secara terperinci serta nombor pin kad-kad ATM beliau.

Katanya, mangsa turut diarahkan menghantar gambar bahagian depan dan belakang kad kredit miliknya melalui WhatsApp untuk rujukan pihak Bank Negara.

“Selepas itu, mangsa tidak dibenarkan untuk membuat sebarang transaksi kewangan sehingga mendapat maklumbalas dari Bank Negara pada jam 5.00 petang.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah membuat semakan akaun dan mendapati wang berjumlah RM4,120 telah hilang.

“Malah kad kredit beliau juga telah digunakan oleh individu lain untuk membuat pembelian atas talian sebanyak RM4,500,” katanya. — DayakDaily