SRI AMAN, Okt 21: Seorang guru lelaki berjaya menggagalkan cubaan jahat sindiket penipuan ‘Macau scam’ yang dilaporkan berlaku di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, guru berusia 57 tahun berkenaan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan tersebut.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek untuk memerangkap mangsa ialah dengan membuat panggilan telefon ke rumah mangsa pada Oktober 20 lepas.
“Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai Shahrul Abdullah dari Mahkamah Kuantan.
“Lelaki berkenaan kemudian mendakwa mangsa telah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 di sebuah bank.
“Namun, guru terbabit kemudian menafikan dia pernah membuat pinjaman di bank berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, suspek yang masih cuba untuk memerangkap mangsa kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki kononnya pegawai polis di Bukit Aman.
Katanya, selepas itu suspek mendakwa mangsa telah berhutang dengan Maybank, sedangkan guru berkenaan tidak pernah membuat pinjaman tersebut.
“Guru berkenaan kemudian memutuskan talian sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily