Guru diminta lipat gandakan usaha, capai kualiti pendidikan antarabangsa – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Advertisement

KUCHING, 16 Mei: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru para guru supaya melipat gandakan lagi usaha untuk melonjakan kualiti pendidikan negara.

Pada ucapan bersempena sambutan Hari Guru 2020 yang disiarkan RTM (TV1)
hari ini, beliau berkata ini untuk memastikan kualiti pendidikan
negara setanding dengan kualiti pendidikan di peringkat antarabangsa.

Katanya, pencapaian pendidikan negara secara keseluruhan masih berada
di bawah paras pencapaian purata negara-negara OECD.

Advertisement

“Saya tahu usaha ini akan memakan masa, kerana itu Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun
iaitu daripada 2013 hingga 2025.

“Kita ada lima tahun lagi untuk melonjakan kualiti pendidikan di
negara kita supaya berada di dalam kategori sepertiga teratas dalam
penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa,” katanya.

Turut terlibat dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
ketika menjadi menteri pendidikan dahulu, Muhyiddin berkata ketika
itu, pencapaian pendidikan di negara amat membimbangkan.

Menurut beliau, ketika itu sistem pendidikan Malaysia dikatakan berada
dalam kelompok satu pertiga terbawah dalam penarafan sistem pendidikan
diperingkat antarabangsa.

“Hari ini saya berasa agak lega dan gembira kerana hasil kerja keras
para guru melaksanakan pelbagai inisiatif, kita telah berjaya
melangkah keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah.

“Pencapaian murid kita dalam ujian PISA bagi matapelajaran matematik
telah meningkat dari 421 mata pada tahun 2012 kepada 440 mata dalam
tahun 2019.

“Pencapaian murid dalam matapelajaran sains juga telah meningkat dari
420 mata pada tahun 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019,” ujar beliau. – DayakDaily.

Advertisement