Mangsa banjir di Sebuyau menurun kepada 30 orang

Keadaan mangsa banjir yang masih ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan.

SEBUYAU, Jan 14: Jumlah mangsa banjir dari Kampung Skitong yang masih ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di sini menurun kepada 30 orang hari ini berbanding 52 orang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, setakat pukul 6 petang tadi, kesemua mangsa daripada lapan buah keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir.

Katanya, mangsa selebihnya pula telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air kembali surut.


“Terdapat mangsa yang masih belum dapat balik ke kediaman mereka kerana masih terdapat takungan air sedalam 0.6 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan hujan lebat berterusan sejak kelmarin telah mengakibatkan seramai 52 penduduk dari Kampung Skitong di sini dipindahkan ke pusat penempatan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air banjir.

Kesemua mangsa daripada 16 buah keluarga itu kini ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di sini mulai pada pukul 4 petang.

Mangsa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air banjir sedalam kira-kira 0.6 meter.

Kesemua mangsa yang dipindahkan termasuk dua bayi perempuan dan seorang warga emas.

Agensi-agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ialah pasukan Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rela, Pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Sebuyau. — DayakDaily