GPS utamakan hak dan kepentingan Sarawak

Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 20: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kesal dengan kenyataan terkini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian, yang menuduh Ahli-Ahli Parlimen GPS sebagai pengkhianat dan mengabaikan tugas dalam isu pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata tuduhan Baru bahawa alasan GPS  “abstained” (tidak mengundi) sebagai tiada merit membuktikan betapa Baru memandang remeh Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.

Tegas beliau, kesemua Ahli Parlimen GPS hadir di Dewan Rakyat dengan hampir kesemuanya mengambil bahagian di dalam perbahasan bagi menegur ‘loopholes’ pindaan itu dan memohon supaya “pursuant to MA63” dimasukkan bagi menperkukuhkannya.

“Seperti yang saya jelaskan dalam kenyataan akhbar bertarikh 12 April, 2019, ada ‘loopholes’ yang perlu diperbaiki.

“Kalau Ahli-Ahli Parlimen GPS tidak hadir dan tidak berusaha memperbetulkan kelemahan yang ada, itu barulah dinamakan mengabaikan tugas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, Ahli-Ahli Parlimen GPS bukan sahaja membahaskannya, malah telah berunding dengan semua pihak termasuk Menteri Undang-Undang (Datuk Liew Vui Keong), pemimpin kerajaan, ahli-ahli parti pembangkang Sabah dan juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jelasnya, beliau selaku Ketua Whip turut berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan pendirian Sarawak supaya “pursuant to MA63” dimasukkan bagi melengkapkan pindaan berkenaan

“Bagi GPS, RUU berkenaan bukan benda kecil yg boleh diselesaikan secara ‘window dressing’, sebaliknya ia perlu di selesaikan secara menyeluruh demi masa depan rakyat dan negeri Sarawak.

“Ia memerlukan ketiga-tiga Penasihat Undang-Undang Persekutuan dan negeri untuk duduk berbincang mengenai intrerpretasi perundangan dan juga susun kata perundangan yang lebih tepat,” katanya.

Bagi GPS, kata Fadillah, apabila ia menyentuh mengenai mengembalikan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak serta melindungi kepentingan kita sepenuhnya, tidak harus ada sebarang kompromi.

“Kalau Baru Bian mahu mempolitikkan isu berkenaan, terserah kepada beliau. GPS tetap dengan pendirian bahawa bila menyentuh soal hak Sabah dan Sarawak, VK Liew bukan musuh kita, Chong bukan musuh kita dan Baru Bian juga bukan musuh kita.

“GPS bukan meminta lebih daripada apa yang kita berhak dapat didalam MA63. Kita hanya mahu memperkukuhkan dan tidak mahu ada sebarang kelemahan (loopholes) bagi melindungi hak Sarawak sepenuhnya.

“Jika mahu memperbetulkan perkara ini, marilah lakukannya dengan cara yang betul dan kita atasi kelemahan serta kekurangan yang ada sebelum kita meluluskan rang undang-undang pindaan ini.”

GPS kini fokus meneruskan perjumpaan dengan semua pemegang taruh berkaitan termasuk penasihat-penasihat undang-undang, katanya. — DayakDaily