GPS komited naiktaraf infrastruktur rumah panjang — MP Bintulu

Tiong (dua belas dari kiri) menerima kunjungan ahli-ahli Gerempong Rumah-Rumah Panjai Sungai Sebauh di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto: Laman rasmi Facebook Tiong
Advertisement

KUCHING, 21 Mac: Usaha menaiktaraf infrastruktur di kawasan rumah panjang dan luar bandar adalah komitmen Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rakyat negeri ini, kata MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya dan Adun Dudong berkata, usaha tersebut seharusnya dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh setiap pihak yang terlibat.

Beliau pada semalam telah menerima kunjungan ahli-ahli Gerempong Rumah-Rumah Panjai Sungai Sebauh yang hadir ke Kompleks Bangunan Parlimen.

Advertisement

“Mereka telah berkongsi dengan saya berhubung isu-isu setempat termasuk berkenaan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, rangkaian komunikasi dan lain-lain lagi.

“Terima kasih juga kerana memaklumkan kepada saya mengenai beberapa perkara berkaitan projek yang dilancarkan oleh kerajaan demi kebaikan rakyat Sarawak yang tidak dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Oleh itu, katanya, dengan segala maklum balas dan maklumat yang terkumpul, beliau akan mendapatkan situasi sebenar daripada pihak berkuasa.

“Seterusnya kita akan memastikan kemajuan projek tidak diabaikan supaya ianya dapat memberi manfaat kepada semua penduduk rumah panjang,” ujar Tiong. — DayakDaily

Advertisement