GPS bukan ‘ulun Malaya’ — Kho

Kho (baris tengah, dua kiri), Wee (empat kiri) bersama peserta dan wakil agensi yang menghadiri majlis penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Kuching In Your Eyes 2.0 Sungai Tabuan Edition.

KUCHING, 8 Mac: Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kho Teck Wan, menyangkal pandangan sesetengah pihak dalam media sosial yang Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini “ulun Malaya” setelah penubuhan kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN) + GPS.

“Orang terbabit mengatakan GPS sebagai ulun Malaya, kami belum dapat membuktikan kepada mereka lagi (bahawa ianya sebaliknya) sebab kerajaan pusat baharu saja berubah.

“Akan mengambil masa bagi mereka tahu apa yang sebenarnya kami perjuangkan,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Kuching In Your Eyes 2.0 Sungai Tabuan Edition di sini, hari ini.


Pertandingan terbabit dijuarai Hu Toh Kai dengan gambar berjudul Water Transportation, manakala tempat kedua dimenangi Tan Kin Khian (Double Happiness) dan tempat ketiga dimenangi Lai Sin Fook (The River) dengan hadiah mereka disampaikan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.

Kho ketika ditemui pemberita selepas majlis.
Hu dengan gambar berjudul Water Transportation yang menjadi juara Pertandingan Fotografi Kuching In Your Eyes 2.0 Sungai Tabuan Edition.

Kho menyatakan dia tidak menyalahkan pihak yang berpandangan sedemikian ketika ini, kerana orang ramai tidak boleh dihalang dari mengeluarkan pandangan masing-masing berkaitan politik Sarawak di media sosial.

“Tidak mengapalah, mereka disebelah sana (pembangkang di Sarawak) juga pernah dipanggil dengan gelaran itu (di media sosial) kerana parti mereka dari semenanjung,” katanya.

Kho berkata beliau tidak tahu siapa yang memulakan gelaran “ulun Malaya” terbabit dan berpendapat gelaran itu tidak sepatutnya terus digunakan bagi saling memburukkan sesama anak Sarawak dalam politik dan perlu dihentikan.

Selain itu, beliau sebagai pemimpin parti komponen GPS juga bersetuju dengan tindakan ketua menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, supaya GPS tidak menyertai mana-mana pakatan atau perikatan politik dan kekal terus sebagai entiti bebas ketika menubuhkan kerajaan pusat PN+GPS. — DayakDaily