Golongan belia disaran sertai program pembangunan usahawan

Naroden (dua dari kiri) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang peserta program pembangunan usahawan di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Ogos: Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais menyeru golongan belia untuk mengambil bahagian dalam program pembangunan usahawan.

Katanya, antara program yang disediakan termasuk Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Program Graduan Kearah Keusahawanan (Gerak) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).


“Menerusi program keusahawanan ini, para graduan universiti dan mereka yang memiliki sijil teknikal dan vokasional boleh mendapat bantuan kerajaan.

“Bantuan adalah dalam bentuk geran sehingga maksima RM20,000 serta bantuan peralatan mesin yang diperlukan seperti komputer dan sebagainya,” kata Naroden.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Untuk Peserta Program USTEV, Gerak dan SPIKS di Dewan Kenyalang, Menara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) di sini, hari ini.

Seramai 39 peserta yang terdiri daripada golongan belia telah menerima surat tawaran yang disampaikan Naroden pada majlis tersebut.

Ketiga-tiga program pembangunan usahawan ini dilaksanakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Mintred) dengan kerjasama PPES sebagai agensi pelaksana.

Dalam pada itu, Naroden memaklumkan bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberi peruntukkan tambahan sebanyak RM5 juta untuk program USTEV dan Gerak.

Menurut beliau, kedua-dua program tersebut telah mendapat sambutan yang mengalakkan dan peruntukkan terdahulu hampir habis digunakan.

“Program USTEV dan Gerak kita mula dengan peruntukkan sebanyak RM4 juta iaitu RM2 juta untuk setiap program.

“Oleh kerana peruntukkan hampis habis setelah usahawan kecil kita memohon geran sejumlah RM1,000 sehingga RM20,000 maksima, Abang Johari telah meluluskan tambahan RM5 juta.

“Kita akan kongsikan peruntukkan tambahan ini untuk kedua-dua program,” katanya.

Terdahulu, pengurus besar PPES Abdul Hadi Abdul Kadir pada ucapan aluan berkata, sehingga 30 Jun tahun ini seramai 106 orang usahawan muda dibawah program USTEV telah mendapat faedah dengan nilai bantuan yang telah diberikan ialah sejumlah RM1.7 juta.

Manakala dalam tempoh yang sama tambah beliau, seramai 76 orang telahpun mendapat faedah dari program Gerak dengan nilai bantuan yang diberikan ialah sejumlah RM1.4 juta.

“Bagi skim pinjaman SPIKS, sehingga 31 Julai tahun ini seramai 260 orang usahawan tempatan telah mendapat faedah dengan nilai bantuan yang diterima ialah sejumlah RM19.6 juta,” kata Abdul Hadi. — DayakDaily