Geng samun kedai serbaneka 24 jam tumpas

Supt Aidil Bolhassan

PADAWAN, Ogos 30: Polis berjaya memberkas enam geng samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini menerusi dua serbuan yang dilakukan semalam.

Keenam-enam suspek berumur antara 24 hingga 34 tahun itu dicekup hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek berjaya ditahan susulan kejayaan menahan dua lelaki yang bertindak merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kota Sentosa di sini pada pukul 4.16 pagi.


Jelasnya, susulan laporan polis yang diterima, pasukan serbuan dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak berjaya menahan lima lelaki.

“Serbuan dan tangkapan itu dilakukan mulai pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek memiliki kes jenayah lampau terutamanya membabitkan kes samun kedai serbaneka 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil menambah, selepas menahan lima suspek terbabit, polis kemudian berjaya menangkap seorang lagi suspek.

Jelasnya, suspek keenam yang dicekup itu merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan tapak pembinaan.

“Hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah motosikal Honda Dash, dua buah Yamaha Lagenda, kerambit, pisau sayur, beg galas dan helmet yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” ujarnya. — DayakDaily