MIRI, 19 Jan: Polis Miri pada petang semalam menahan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki memecah masuk sebuah gudang membekal barangan serbaneka di Desa Senadin, Jalan Maigold dan melarikan barangan bernilai RM12,000.
Tangkapan dilakukan di dua lokasi berasingan sekitar jam 5.50pm sehingga 6.30pm oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dalan satu operasi dinamakan Ops Pintu/Ops Kesan.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek berusia 23, 37 dan 46 tahun itu kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Suspek pertama telah ditahan di hadapan sebuah kedai menjual barangan eletrik di Jalan Miri-Bintulu, manakala dua suspek lagi ditahan di hadapan sebuah hotel murah di Jalan Airport.
Semasa tangkapan, polis turut merampas sebuah lori dan kenderaan pancuan empat roda (4WD) serta beberapa peralatan pecah rumah.
Difahamkan, kejadian disedari pada Januari 10 yang lalu oleh pemilik gudang tersebut.
Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk beberapa ratus karton minuman ringan jenama Drinho, tisu, serta susu tepung formula bayi. — DayakDaily