Gawai Dayak Bazaar kembali lagi, masyarakat Dayak dialukan mengambil bahagian

Jawatankuasa penganjur Gawai Dayak Bazaar 2019 bersama dengan Vicky (depan, enam kiri), Clare (tujuh kiri) di tapak bazaar yang akan bermula 4 Mei depan.

MIRI, April 12: Acara yang paling ditunggu oleh masyarakat Dayak di sini pada setiap tahun, Gawai Dayak Bazaar (GDB), kini kembali dan akan dianjur pada 4 hingga 25 Mei.

GDB, yang diperkenalkan oleh Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS), akan berlangsung di tapak letak kereta Bandar Baru Permyjaya, iaitu bersebelahan dengan Bank Rakyat Permyjaya.

Presiden GADS, Vicky Gulin Shandom, berkata tahun ini pihaknya mensasarkan lebih banyak penyertaan berikutan sambutan yang amat menggalakkan diterima pada tahun-tahun lepas.

“Lebih istimewa pada tahun ini, kita turut membuka penyertaan kepada masyarakat Dayak yang beragama Islam.

“Ini kerana daripada maklum balas kami yang lepas, ramai mualaf dari kaum Dayak menyatakan minat untuk mengambil bahagian dan bagi memenuhi permintaan mereka, kita menyediakan ruang khas bagi memberi peluang kepada mereka untuk memeriahkan lagi GDB pada tahun ini,” tambahnya.

“Ia juga seiring dengan tema GDB pada tahun ini, iaitu ‘Perpaduan di dalam Kepelbagaian’, yang menyaksikan perpaduan di kalangan masyarakat Dayak di dalam kepelbagaian, meskipun berbeza ideologi politik, kefahaman, agama dan sebagainya. Namun di bawah GDB kami mahu kekal bersatu-padu,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Menurut Vicky, selain jualan makanan dan minuman, GDB 2019 yang turut disenaraikan dalam Kalendar Miri Mayfest 2019 dan kalendar pelancongan Tahun Melawat Sarawak 2019, turut membuka gerai-gerai menjual pelbagai kraftangan, busana, perhiasan dan sebagainya.

“Dengan konsep, siapa cepat dia dapat, kami amat mengalakkan agar mereka yang berminat mahu mengambil bahagian untuk menghantar permohonan segera,” tambahnya.

Sementara itu, pengerusi penganjur GDB 2019, Clare Cinderella, berkata jawatankuasa tahun ini menjanjikan penganjuran dengan acara-acara yang lebih meriah lagi.

“Sejajar dengan tema dan juga matlamat GDB, kami akan mengetengahkan acara kebudayaan seperti pertandingan ngajat, sape dan juga ‘gendang pampat’.

“Selain itu beberapa acara tetap GDB akan diteruskan seperti pertandingan Ratu Cantik Kebaya, ‘Kumang Anak Mit’, GDB Idol 2019 untuk kedua-dua kategori dewasa dan kanak-kanak,” katanya.

Acara kemuncak GDB 2019 ialah Perarakan Gawai Dayak yang diadakan pada 25 Mei yang akan turut melibatkan penyertaan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Dayak di Miri.

Keterangan lanjut berhubung GDB 2019 orang ramai boleh menghubungi jawatankuasa jualan iaitu Sofiana Felix (013-8234306); Rachellies Nyanthau (014-6825479); Flossie Lawan (019-8652605) atau Clare (013-5661010). — DayakDaily