Oleh Chris Bishop
KUCHING, 26 Feb: Peserta keturunan Bidayuh Roziena Ixzy, 26, diumumkan sebagai juara Bintang RTM 2024 (BRTM 2024) pada Sabtu (24 Feb) lepas.
Dengan kejuaraan itu, finalis yang lebih dikenali dengan panggilan Roxy Ixzy membawa pulang wang tunai RM78,000 dan sebuah kereta Proton Iriz.
Pada konsert akhir selepas tujuh minggu berentap di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Roxy Ixzy membawakan lagu “A Woman’s Worth” nyanyian asal Alicia Keys.
Persembahan itu sekali gus mengetepikan lima lagi peserta akhir lain.
Manakala untuk segmen kedua duet bersama artis jemputan Hariz Fayahet pula, Roxy Ixzy menyampaikan lagu berjudul
“Percayalah” nyanyian asal Afgan dan Raisa.
Terdahulu, Roxy Ixzy telah tiga kali menjadi juara minggu sejak pertandingan itu dimulakan.
Naib juara pula menjadi milik Dhania, 15, yang membawa pulang wang sebanyak RM35,000, manakala tempat ketiga diraih Hady Huv yang menerima RM20,000.
Tempat ke-4 menjadi milik Feka manakala tempat ke-5 jatuh kepada Eylia Guntabid, dan Joy terpaksa akur di tempat ke-6.
Pemenang tempat ke-4 hingga ke-6 masing-masing menerima RM5,000. — DayakDaily