Festival Makanan Dan Budaya Samarahan 2024 sasar 200,000 pengunjung

Florince (duduk tiga dari kiri) mempamerkan poster Festival Makanan Dan Budaya Samarahan 2024.

KOTA SAMARAHAN, 23 April: Festival Makanan Dan Budaya Samarahan (SFCF) 2024 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 19 Mei ini di Aiman Mall di Kota Samarahan mensasarkan kehadiran 200,000 orang pengunjung.

Anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), festival selama 10 hari itu memperkenalkan produk-produk makanan tradisi dan makanan popular.

Menurut Pengerusi Pengelola SFCF Dr Florince Christy, ia juga akan mempamerkan seni, adat, budaya serta permainan tradisi yang terdapat di Sarawak, terutamanya bahagian Samarahan ini tersendiri.


“SFCF merupakan acara pelancongan tahunan yang diadakan di Samarahan.

“Kali terakhir penganjuran SFCF adalah pada 2022 dan telah berjaya menarik seramai 98, 819 pengunjung.

“Pada tahun ini, kami berharap agar SFCF ini akan dapat menarik seramai 200,000 orang pengunjung,” kata Florince pada sidang media di Kota Samarahan hari ini.

Tambah beliau, penganjuran SFCF pada tahun ini akan menyaksikan percubaan untuk melakukan rekod pameran pelbagai jenis ulam-ulaman.

Katanya, sebanyak 100 jenis ulam-ulaman bakal dipamerkan untuk dimasukkan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 19 Mei 2024, jam 3.30 petang di Aiman Mall.

Sementara itu, pihak MPKS juga telah menyediakan sebanyak 83 buah gerai jualan makanan dan kraftangan.

“Sepanjang berlangsungnya SFCF 2024 ini nanti, pelbagai aktiviti kebudayaan daripada pelbagai kaum akan turut ditunjukkan pada setiap malam.

“Antaranya adalah, seperti Persembahan Bermukun, Persembahan Zapin Sindang, Persembahan Okestra Cina, Persembahan Gendang 24 ‘Season’ (Cina), dan Gendang Pampat Iban.

“Turut dipamerkan ialah Peragaan Pakaian Tradisional Kaum Bugis, Persembahan Tarian serta muzik kaum Bugis dan Persembahan Ngajat Iban dan Bidayuh,” ujar Florince.

SFCF pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 10 Mei.

Majlis Penangguhan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada 19 Mei. — DayakDaily