Oleh Brad Rantayy
MIRI, 26 Jan: Kabel penyangkut feri Angelina No.2 di Marudi dilaporkan terputus dan flat besi laluan keluar masuknya terjatuh selepas sebuah kapal tiba-tiba melanggar feri tersebut petang ini.
Difahamkan besi palang pagar feri turut bengkok dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.15 petang tadi.
Mujur tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana semasa kejadian, feri tersebut sedang menunggu kenderaan di tebing sungai Jalan Ridan Marudi.
Kemalangan berlaku semasa kapal Linau 122 melintasi feri Angelina No.2 dan sebuah kapal minyak yang sedang berada di tepi sungai.
Laporan polis telah dibuat untuk dirujuk kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan syarikat terbabit untuk siasatan. — DayakDaily