Kastam rampas minuman keras bernilai cecah RM200,000 di Sri Aman

Beer. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

SRI AMAN, 26 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas minuman keras pelbagai jenama dalam dua serbuan berasingan di sini pada 23 Januari baru-baru ini.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah ‘Ops CILIS’ yang bermula dari jam 11 pagi hari tersebut.

Beliau memberitahu, dua premis diserbu and mereka berjaya menemui 25,103 liter pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tidak berkastam.


“Pasukan serbuan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam di dua buah lokasi yang beralamat di Jalan Hollis, Sri Jaya Park dan juga Jalan Keja, Kampung Sri Wangi, Sri Aman.

“Anggaran sebanyak 25,103 liter minuman pelbagai jenama telah dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM271,967.84 dan jumlah duti / cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM402,535.15,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya juga, kejayaan tersebut adalah hasil daripada risikan dan pengumpulan maklumat oleh Cawangan Khas (E5) PDRM dan kolaborasi di antara Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat JKDM Kuching.

“Modus operandi suspek adalah barangan tidak berkastam tersebut disembunyikan di dalam premis lot kedai tidak bernama yang berkunci yang dijadikan stor bagi mengaburi pihak penguatkuasaan.

“Barangan juga disembunyikan di dalam beberapa buah bilik di sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan bagi mengaburi pihak penguatkuasa,” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan minuman keras tersebut merupakan bekalan yang baru tiba bagi tujuan pasaran menjelang Tahun Baru Cina di sekitar Daerah Sri Aman.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan larangan. — DayakDaily