Fatimah: Kes keganasan rumah tangga meningkat

Datuk Seri Fatimah Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Dis: Kes Keganasan rumah tangga di Sarawak meningkat sebanyak 13.2 peratus iaitu 644 kes setakat Oktober 2020 berbanding 569 kes pada 2019.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, kes tertinggi direkodkan di Kuching iaitu sebanyak 32.3 peratus.


Ini diikuti Miri dengan 26.2 peratus, Sibu (9.5 peratus) dan Samarahan sebanyak 9 peratus.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bermula pada 18 Mac 2020, kes tersebut adalah menurun dari 20 hingga 25 peratus iaitu Januari dengan 105 kes, Februari (80 kes) dan Mac (60 kes),’ katanya pada Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini hari ini.

Berhubung statistik dan tren jenayah seksual bagi tempoh 2016 hingga 2019, Fatimah berkata terdapat 763 orang mangsa adalah kanak- kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Katanya terdapat tren peningkatan dalam bilangan mangsa kanak-kanak dalam tempoh tersebut dengan 2016 merekodkan sebanyak 160 mangsa, manakala 2017 sebanyak 173 mangsa iaitu peningkatan 8.1 peratus.

“Tahun 2018 merekodkan sebanyak 207 mangsa iaitu peningkatan 19.7 peratus dan 2019 sebanyak 222 mangsa iaitu peningkatan 7.2 peratus.

“Manakala setakat Oktober 2020, sebanyak 163 mangsa kanak-kanak terlibat,’ ujar beliau.

Dalam pada itu Fatimah turut memaklumkan bahawa statistik dan tren kehamilan membabitkan remaja sejak 2016 secara keseluruhan menunjukkan penurunan dari segi bilangan kes dan peratusan kehamilan remaja hamil dari jumlah kes baharu antenatal.

Pada tahun 2016 jelas beliau, jumlah remaja hamil adalah sebanyak 2,481 dan ia menurun kepada 1,967 pada tahun 2019.

Setakat September 2020, sebanyak 1,668 jumlah remaja hamil direkodkan, ujar Fatimah. – DayakDaily