Tindakan POCA akan dikenakan kepada mereka yang ditangkap terlibat kegiatan judi dalam talian

Anggota operasi memotong bekalan elektrik sebuah daripada premis.

KUCHING, 8 Dis: Polis akan mengenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1953 ke atas mana-mana individu yang ditangkap terlibat kegiatan perjudian tanpa lesen.

Tegas Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani, tindakan tersebut diambil untuk memastikan kegiatan perjudian haram seperti judi dalam talian dan jual loteri haram dapat dibanteras.

Menurutnya, dari 1 Disember, seramai lapan individu ditangkap dalam tujuh serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut.

“Lapan individu disyaki penjual judi ‘online’ ditangkap dalam operasi tersebut dan mereka diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 dan penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

“Susulan itu, amaran keras kepada pengusahan berkaitan (perjudian) supaya berhenti kerana polis akan mengambil tindakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awang Din selain itu memberitahu sebanyak empat premis telah dipotong bekalan elektriknya hari ini kerana disyaki dijadikan pusat kegiatan perjudian.

Menurutnya, empat premis tersebut terdiri daripada kedai runcit, kedai makan dan rumah persendirian.

Tindakan tersebut diambil di bawah Seksyen 21A ARJT 1953.

“Polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah bahawa premis menjalankan aktiviti perjudian,” kata Awang Din.

Operasi tersebut turut disertai kakitangan Sarawak Energy Berhad. — DayakDaily