Fatimah: 101 kes permohonan warganegara bagi 2019-2020 disyorkan kepada Menteri Dalam Negeri

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 21 April: Sebanyak 101 kes permohonan kewarganegaraan bawah 21 tahun dari Sarawak bagi tempoh 2019 hingga 2020 telah disyorkan untuk tindakan Menteri Dalam Negeri.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, semua permohonan tersebut disyorkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Putra Jaya semalam.

“Mesyuarat kali ini mengetengahkan sebanyak 101 kes permohonan dari Sarawak bagi tahun 2019 hingga 2020.


“Permohonan sebelum 2019 telah dilakukan oleh panel sebelum ini diangkat untuk tindakan muktamad Menteri Dalam Negeri.

“Harus diingatkan bahawa Jawatankuasa ini hanya memperakukan syor permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, dan keputusan muktamad terletak pada Menteri Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang diadakan semalam telah dipengerusi bersama dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Dr Ismail Mohamed Said, dan Fatimah.

Tambah Fatimah, mesyuarat telah membentangkan terma rujukan baharu untuk Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Perkara 15A di Peringkat Sarawak.

Mesyuarat juga menyemak, menilai dan memperakukan syor permohonan kewarganegaraan dari Sarawak dibawah 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan mestilah lengkap dengan dokumen-dokumen dan maklumat yang diperlukan untuk membantu proses membuat keputusan.

“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara telah memudahcara proses permohonan dengan mengedarkan senarai semakan.

“Dokumen wajib adalah yang dapat membuktikan keberadaan melalui pengesahan kemastatutinan, dokumen rawatan kesihatan subjek dokumen persekolahan,” ujar Fatimah.

Jelas beliau lagi, mesyuarat seterusnya akan diadakan pada bulan Mei, di Kuching dan akan diadakan setiap bulan sehingga didapati bilangan permohonan sudah berkurangan. — DayakDaily