PKPD: Rh Awal dan Blok N RPR Sungai Plan terima bantuan makanan

Bantuan makanan dari JKM Bintulu tiba di Rumah Awal.

KUCHING, 21 April: Seramai 178 ketua isi rumah di Rumah Awal dan Blok N RPR Sungai Plan di Kidurong, Bintulu menerima bantuan makanan kering untuk tempoh dua minggu semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu itu disalurkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua kawasan.

Bantuan bertujuan meringankan beban penduduk yang tidak dibenarkan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan dan urusan lain.

Penduduk Rumah Awal di Jalan Bintulu-Miri telah diarahkan menjalani kuarantin bermula 16 hingga 29 April, manakala penduduk di Blok N RPR Sungai Plan pula menjalani kuarantin bermula 12 hingga 25 April ekoran terdapat kontak rapat dengan pesakit Covid-19 sebelum ini.

Dalam pada itu, sebuah bangunan yang dijadikan rumah sewa di Kampung Cina, Marudi dikenakan PKPD selama 14 hari ekoran terdapat kontak rapat dengan kes positif Covid-19.


Bangunan yang mempunyai 22 bilik yang terletak di Jalan Cempaka tersebut didiami 98 orang.

Sehubungan itu, JKM Daerah Marudi telah menghantar bantuan makanan kepada penduduk bagi meringankan beban mereka.

Sebanyak 74 pek makanan, lapan pek lampin pakai buang dan enam tin susu bayi telah diagihkan kepada penduduk bagi keperluan seharian untuk tempoh 14 hari. — DayakDaily