Fasa pertama bayaran RM500 Geran Khas Prihatin 4.0 bermula 21 Sept

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

KUCHING, 17 Sept: Pembayaran bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Selasa hadapan (21 Sept).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada bulan ini (September 2021) berjumlah RM500 dan November 2021 (RM500).

“Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Bantuan GKP 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) adalah antara usaha kerajaan untuk menyokong sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro.

Ismail Sabri menambah, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

“Saya berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” katanya lagi. — DayakDaily