KUCHING, 5 Mei: Bayaran bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 akan dibuat secara berperingkat mulai 7 Mei ini dan membabitkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan memberi manfaat kepada seramai 3.6 juta isi rumah, 1 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.
Katanya, terdapat peningkatan peruntukan bagi fasa ini berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.
“Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Zafrul, bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, bayaran akan dibuat dari 7 hingga 12 Mei ini dan bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank.
Manakala, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah dan Sarawak), bayaran akan dibuat mulai 17 Mei nanti di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Tambah beliau, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021 bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),” katanya.
Mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR jelas Zafrul, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion.
“Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telahpun dibayar mulai 21 Januari 2021.
“Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi BPN 2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2 yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Fasa 1 pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibuat kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari sehingga 1 April lalu. — DayakDaily