FAS merehatkan khidmat ketua jurulatih, penolong ketua jurulatih buat sementara waktu

Kenyataan media FAS.

KUCHING, Mac 3: Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) mengumumkan untuk merehatkan khidmat ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatihnya buat sementara waktu.

Presiden FAS, Dato Posa Majais berkata keputusan tersebut dibuat disebabkan prestasi merudum skuad Liga Premier Sarawak FA dibawah kendalian mereka.

“FAS menerusi presiden, Dato Posa Majais mengumumkan untuk merehatkan khidmat ketua jurulatih, Mohamad Farhan Abdullah dan penolong ketua jurulatih, David Usop buat sementara waktu,”menurut kenyataan media FAS yang disiarkan di laman facebook Sarawak FA Official-Ngapsayot hari ini.


Posa Majais berkata segala keputusan dan tindakan ini diambil atas faktor untuk meningkatkan prestasi skuad Sarawak FA dan menyelamatkan kedudukan skuad dalam Liga Premier 2019.

“Kedua-dua jurulatih telahpun dimaklumkan dan penganti sementara untuk kedua-dua jurulatih akan diumumkan dalam masa terdekat bagi persiapan perlawanan pada penghujung Mac nanti,” katanya. — DayakDaily