FAMA Negeri Sarawak lancar AgroXpress

Mat Sani(dua kiri) menyempurnakan penyerahan kotak penghantar AgoXpress di ABO Trading.

KUCHING, 25 JULAI: Pengarah FAMA Negeri Sarawak Datuk Dr Mat Sani Hassan hari ini menyempurnakan penyerahan kotak penghantar AgroXpress kepada wakil usahawan Agro Bazaar Online (ABO) Trading.

Pada program yang diadakan di Pusat Komersil Swan di Jalan Matang itu, Mat Sani turut melancarkan Pra-Jualan Aidiladha 2020.

Menurut Pengurus Projek Zamahari Hanapi, ABO Trading merupakan hub untuk mengumpul produk daripada usahawan yang kemudiannya akan dihantar kepada pembeli.


“Penekanan kita adalah kepada usahawan-usahawan daripada luar bandar seperti dari Lubok Antu, Simunjan dan lain-lain.

“Kita akan memasarkan produk mereka ini secara atas talian dan pembeli tidak perlu berurusan dengan pembekal.

“ABO Trading akan berurusan dengan pembeli secara atas talian yang seterusnya menyediakan perkhidmatan penghantaran produk,” katanya.

Menurut Zamahari, usahawan daripada Lubok Antu yang menghadapi masalah telah menghantar produk mereka seperti pekasam dan ikan tilapia ke ABO Trading untuk dipasarkan.

Katanya, ini merupakan satu usaha FAMA untuk membantu golongan usahawan khususnya mereka yang di luar bandar.

AgroXpress merupakan platform penghantaran produk agromakanan dan pertanian yang melibatkan integrasi hub edaran, platform agrobazaar online serta pasar tani secara atas talian.—DayakDaily

Zamahari memberi penjelasan berhubung peranan ABO Trading.