Fadillah: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak 69.60 peratus siap

Fadillah pada lawatan pemantauan ke Jejambat Nyabau Projek LPB Pakej Kontrak Kerja 10 di Bintulu hari ini (14 Ogos, 2021).
Advertisement

KUCHING, 14 Ogos: Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak setakat ini 69.60 peratus siap, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut Fadillah, keseluruhan projek menghadapi kelewatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas.

“Walaupun berdasarkan kontrak tarikh siap sepenuhnya disasarkan September 2022, namun atas kekangan PKP, pihak kontraktor menghadapi masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan.

Advertisement

“Selain itu, isu kekurangan pekerja demi mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN), kesukaran mendapatkan tenaga kerja dan cabaran pematuhan PKP yang berbeza di lokaliti setiap Bahagian di Sarawak yang dirangka khusus berdasarkan status terkini penularan wabak di setiap kawasan.

“Kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan,” katanya pada Lawatan Pemantauan ke Jejambat Nyabau Projek LPB Pakej Kontrak Kerja 10 di Bintulu hari ini.

Pada lawatan itu, Fadillah meninjau keadaan di tapak dan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, kontraktor dan pelaksana projek untuk mengenalpasti pendekatan terbaik bagi menangani isu-isu berkenaan.

Ia seterusnya memastikan projek LPB Sarawak dapat disiapkan seawal mungkin.

Tinjauan berkenaan juga bertujuan mendapatkan maklumbalas berhubung kekangan dan langkah penambahbaikan yang sedang diambil dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang turut terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Impak penularan pandemik dan pelaksanaan PKP menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek serta kenaikan kos bahan binaan.

“Ia juga memberi kesan kepada isu tenaga pekerja yang semakin berkurangan susulan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan di tapak pembinaan dalam PPN Fasa 1, serta 80 peratus untuk Fasa 2 dan Fasa 3 PPN,” katanya.

Tambah Fadillah, kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain berkerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan peningkatan kapasiti rantaian bekalan yang terlibat.

Menurut beliau, pelbagai plan mitigasi dan tindakan susulan berterusan sedang dilaksanakan di bawah seliaan JKR Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek dengan bantuan Project Management Consultant (PMC).

Antaranya seperti penjadualan semula kerja pembinaan susulan perubahan model pelaksanaan daripada PDP kepada konvensional pada Februari 2020.

“Serta meminimumkan kesan penularan Covid-19 terhadap prestasi pelaksanaan projek berpandukan SOP Fasa 2 dan 3 PPN,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement