Fadillah: Penduduk Sarawak mesti menilai rekod PAS dalam menunaikan janji, manifesto

Fadillah (kiri) berbual dengan ahli-ahli Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak ketika menghadiri jamuan tengahari dengan ahli-ahli persatuan itu.

KUCHING, April 22: Penduduk Sarawak diminta tidak terburu-buru menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang akan bertanding di lima kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan disarankan meneliti terlebih dahulu segala rekod, janji dan manifesto parti pembangkang terbabit selepas pilihanraya umum lepas.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata demikian dan mahu penduduk negeri ini kemudian membandingkan semua rekod, janji dan manifesto PAS yang berjaya ditunaikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas dengan rekod, janji dan manifesto milik BN.

“Rakyat (Sarawak) mesti menilai dahulu apa rekod mereka (PAS), lihat semula manifesto pilihanraya umum lepas bagi mengetahui samada sudah menunaikan janji dalam manifesto itu kerana ada yang berjanji tapi banyak belum ditunaikan. Waktu pilihanraya ini lagi banyak janji, tapi lepas pilihanraya ini kita tidak tahu apa terjadi pada janji itu,” katanya selepas menghadiri jamuan makan tengahari bersama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak di sebuah restoran di sini, hari ini.


Fadillah berkata demikian mengulas laporan PAS akan bertanding di lima kerusi Parlimen di negeri ini termasuk Parlimen Petra Jaya pada PRU14 dan telah mengumumkan lima orang calon parti itu di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sarawak di Matang Jaya, di sini, semalam.

“Bagi BN, kita dah melaporkan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan (selepas PRU13). Dahulu parti pembangkang boleh berjanji macam-macam sebab mereka belum mentadbir negeri, sekarang mereka sudah mentadbir beberapa negeri,” katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya.

Di samping itu Fadillah berkata PAS bertanding di lima kerusi Parlimen di negeri ini turut membuktikan yang pembangkang adalah bebas bertanding di semua kawasan Parlimen negara ini kerana amalan demokrasi.

“Jadi bila pembangkang mendakwa negara kita bukan negara demokratik itu sesuatu yang tidak betul, sebab sudah terbukti siapa sahaja boleh bertanding (di mana-mana kerusi Parlimen) pada PRU,” katanya.

Sehubungan itu Fadillah mahu penduduk negeri ini berhati-hati dengan segala janji dan manifesto parti pembangkang dan tidak terpedaya dengan pelbagai berita palsu yang mungkin akan disebarkan pihak tertentu bagi memperdayakan rakyat Sarawak menyokong pembangkang.

Sementara itu, di jamuan tersebut, Fadillah meminta kontraktor Bumiputera di negeri ini supaya mengelakkan lewat menyiapkan projek kerajaan yang diamanahkan kepada mereka kerana akan merugikan kerajaan dan rakyat.

“Kalau dapat menyiapkan projek dalam tempoh waktu ditetapkan dan mengikut piawai dan kualiti ditetapkan, semua pihak akan untung malahan yang paling banyak untung ialah kontraktor itu sendiri,” katanya.

Ini kerana projek yang lewat disiapkan bukan sahaja menyebabkan kontraktor perlu terus menanggung kos sewaan tetapi juga kos memberikan gaji kepada pekerja dan banyak lagi. — DayakDaily