Fadillah: Jangan bawa masuk isu kitab Injil ke Sarawak

Kelihatan Fadillah (tiga dari kiri) ketika lawatan ke tapak cadangan pembinaan dewan SK Tan Sri Datuk Mohamed, Taman Malihah.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Sept: MP Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berharap pedebatan isu kitab Injil tidak dibawa ke Sarawak.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya menyeru rakyat Sarawak untuk terus mengeratkan perpaduan yang telah sekian lama dikecapi.


“Di Sarawak kita harus kekalkan perpaduan, kita saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

“Kita saling bantu-membantu dan hidup dalam suasana yang harmoni.

“Maka jangan mainkan isu perkauman dan keagamaan di Sarawak kerana ia tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di SK Tan Sri Datuk Mohamed di Taman Malihah di sini, hari ini.

Fadillah mengulas mengenai kritikan pembangkang bahawa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdiam diri mengenai isu kitab Injil ini.

Menjawab kritikan itu, beliau berkata tiada bezanya dahulu sewaktu Parti Tindakan Demokratik (DAP) bekerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Menurut beliau lagi, kerajaan pusat sekarang adalah kerajaan Perikatan Nasional(PN) plus GPS.

Katanya, GPS bukan sebahagian daripada PN dan meletakkan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak sebagai keutamaan.

“Ini termasuk hak kebebasan beragama untuk menjaga keharmonian dan kestabilan kita, itulah yang kita kekalkan.

“Kita dah buktikan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) iaitu satu wadah dan pembuktian bahawa Sarawak di bawah GPS adalah berlainan dengan apa yang berlaku di Semenanjung.

“Sebab itu kita pisahkan diri dari Semenanjung dari segi politik,” ujar Fadillah.

Isu kitab Injil menjadi perdebatan di media sosial susulan kenyataan yang dibuat MP Pas Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan kitab Injil dipesongkan.

Kenyataan itu telah menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak.

Terdahulu, Fadillah telah merasmikan Penyerahan Projek Laluan Susur Gajah di SK Tan Sri Datuk Mohamed.

Pada lawatan tersebut, beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukkan RM450,000 untuk membina dewan sekolah tersebut.

Turut hadir ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. — DayakDaily