KGC: Fatimah merancang berbincang dengan syarikat penerbangan untuk potongan harga tiket

Fatimah (tiga dari kiri) bersama warga emas pemegang kad KGC yang membeli-belah di H&L Supermarket di Aiman Mall.

SAMARAHAN, 6 Sept: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan pihaknya akan berusaha berbincang dengan tiga syarikat penerbangan yang ada operasi penerbangan di Sarawak bagi menjadi rakan strategik KGC dan membolehkan pemegang kad itu membeli tiket penerbangan dengan potongan harga.

Ini akan melibatkan MAS, AirAsia dan Malindo Air.

“Kita faham sekarang ini masih masa sukar bagi banyak peniaga termasuk dalam industri penerbangan kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya,”katanya.


Beliau mendedahkan pihaknya akan memohon syarikat penerbangan itu menjadi rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC) bila keadaan sudah bertambah baik.

Beliau turut berkata ketika ini pemegang KGC boleh mendapatkan potongan harga bagi tiket bas express yang sudah menjadi rakan strategik inisatif itu malahan ada tawaran tambahan 10 peratus lagi potongan harga kalau mereka menempah tiket itu secara berkumpulan.

Sementara itu, keseluruhannya sudah sebanyak 169,925 permohonan mendapatkan KGC diterima dari penduduk negeri ini dengan tertinggi dari bahagian Kuching iaitu sebanyak 49,619 permohonan sehingga 31 Ogos lepas.

Fatimah mendedahkan statistik terkini itu dengan permohonan kedua tertinggi dari bahagian Sibu sebanyak 21,597 permohonan dan ketiga tertinggi dari bahagian Miri dengan sebanyak 18,753 permohonan.

“Kalau luar bandar, bahagian Samarahan sudah sebanyak 8,296 permohonan, bahagian Sri Aman sebanyak 8,620 permohonan, bahagian Betong sebanyak 10,680 permohonan, bahagian Sarikei sebanyak 9,731 permohonan dan bahagian Mukah pun boleh tahan dengan sebanyak 7,468 permohonan,” katanya selepas melawat rakan strategik KGC di bahagian Samarahan iaitu H&L Supermarket di pusat membeli-belah Aiman Mall, di sini, hari ini.

Inisatif kerajaan Sarawak terbabit dilancarkan 7 Mac lepas bagi membolehkan penduduk warga emas Sarawak yang berusia 60 tahun keatas mengunakan kad itu untuk mendapatkan potongan harga bagi barangan dan perkhidmatan disediakan peniaga yang menjadi rakan strategik inisiatif itu.

Fatimah berkata kawasan luar bandar lain juga menunjukkan KGC mendapat sambutan baik iaitu bahagian Bintulu dengan sebanyak 6,849 permohonan, bahagian Kapit (7,945 permohonan), bahagian Serian (14,582 permohonan) dan Limbang (5,785 permohonan).

Manakala dari keseluruhan 169,925 permohonan KGC dari seluruh negeri ini sehingga 31 Ogos lepas, sudah sebanyak 133,805 permohonan itu telah dicetak kadnya dan sebanyak 68,960 permohonan itu telah diagihkan kadnya.

Dari segi rakan strategik, Fatimah mendedahkan keseluruhannya ada sebanyak 89 rakan strategik KGC di seluruh Sarawak setakat 31 Ogos lepas dengan bahagian Kuching sahaja ada seramai 46 rakan strategik.

Bahagian Miri ada pula ada seramai 13 rakan strategik KGC manakala Sibu (5) Limbang (11), Bintulu (6), Samarahan (4), Serian (2), Sri Aman dan Betong masing-masing (1) serta Sarikei, Kapit dan Mukah belum ada rakan strategik. — DayakDaily