Fadillah cadang wujudkan Dana Warisan Petroleum Sarawak

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 25 Okt: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan supaya Dana Warisan Petroleum Sarawak diwujudkan.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, dana boleh diwujudkan dengan sebahagian daripada hasil kutipan SST sumber minyak dan gas negeri, disalurkan ke dalam dana tersebut.

“Sebagai permulaan mungkin bajet RM1 bilion boleh dipertimbangkan untuk dana ini dalam Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan GPS (Gabungan Parti Sarawak).


“Penubuhan dana mampu membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan pendidikan tinggi percuma daripada peringkat sijil hingga ke peringkat doktor ijazah (PhD), yang disalurkan dalam bentuk dermasiswa atau biasiswa kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Tambah Fadillah, dana ini juga boleh digunakan bagi membantu kumpulan B40, membina kediaman rakyat termiskin.

Malah katanya, mungkin juga boleh digunakan untuk memberi bantuan kewangan bulanan RM500 kepada warga emas yang hidup susah.

Ini kerana data terkini menunjukkan 16 peratus warga emas di Sarawak hidup dalam kategori miskin dan hidup susah,” jelas Fadillah yang juga MP Petra Jaya. —DayakDaily