Enam rumah musnah terbakar 100 peratus, empat lagi terbakar 50 peratus

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

BINTANGOR, Feb 26: Enam buah rumah musnah terbakar 100 peratus, manakala empat lagi musnah kira-kira 50 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Muhibah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 petang itu, dianggarkan kira-kira 40 hingga 50 penghuni terjejas hilang tempat tinggal.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima laporan berhubung insiden tersebut pada pukul 1.05 petang.


Menurutnya, sebaik menerima laporan kejadian, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor serta Sarikei dikerahkan ke kampung berkenaan.

“Semasa tiba di kampung tersebut, pasukan bomba berdepan dengan masalah untuk memasuki ke kawasan lokasi akibat laluan yang agak sempit.

“Ketika itu, empat buah rumah panjang di situ sudah musnah terbakar. Pasukan bomba kemudian segera melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran bagi mengelak api itu merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, tekanan air yang rendah sedikit sebanyak menyukarkan kerja-kerja memadam kebakaran.

Jelasnya, bagaimanapun tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian,” ujarnya lagi. — DayakDaily