1,200 kotak ikan sejuk beku yang cuba diseludupkan dirampas 11RAMD

Anggota tentera menahan empat kenderaan yang disyaki membawa barangan seludup ke Kalimantan Barat, Indonesia.

LUNDU, Feb 26: Pasukan tentera dari Batalion Ke-11 Regimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar sejumlah 1,200 kotak ikan sejuk beku bernilai RM96,000 ke Kalimantan Barat, Indonesia di sini semalam.

Pegawai Memerintah 11RAMD, Lt Kol Salmi Istikh Ahmad berkata, menerusi Op Serkap yang dilakukan, pasukan tentera berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama enam warga Indonesia.

Katanya, kesemua suspek ditahan selepas menaiki tiga buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan laluan tikus di Ladang Sawit Rimbunan Hijau, Kandaie di sini pada pukul 9 pagi.


“Semasa melakukan Ops Serkap itu, anggota tentera yang bertugas telah mengesan pergerakan empat buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 500 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia

“Pasukan tentera kemudian menahan keempat-empat kenderaan itu untuk melakukan pemeriksaan.

“Apabila diperiksa, anggota tentera telah menemui 1,200 kotak ikan sejuk beku jenis dori dan tilapia dari Malaysia untuk dijual di negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Salmi menambah, pemeriksaan lanjut mendapati setiap kotak ikan itu seberat kira-kira 5 kilogram dan berharga RM80 sekotak.

Jelasnya, kesemua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan lanjut.

“Anggaran keseluruhan barangan yang dirampas itu termasuk kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM296,000,” ujarnya lagi. — DayakDaily