Enam nyaris maut dalam kemalangan di Sibu

Keadaan kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa.

SIBU, 20 Mei: Enam individu nyaris maut apabila kenderana jenis pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Deshon, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata seorang daripada mangsa tersepit, manakala lima lagi berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan orang awam.

Beliau memberitahu laporan berhubung kejadian diterima pada jam 8.23 pagi dan anggota dari Balai Bomba Sungai Merah terus ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.


“Komander operasi melaporkan berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah Toyota Hilux dan terdapat seramai enam orang menaiki kenderaan tersebut.

“Seorang mangsa tersepit di bahagian penumpang sebelah pemandu dan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mangsa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.

“Tiga mangsa perempuan dibawa ke hospital oleh unit EMRS Bomba, manakala tiga lelaki iaitu dua lelaki dan seorang perempuan dibawa oleh ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. — DayakDaily