Enam leka berlumba, ditangkap polis di Kuching

PDRM logo

KUCHING, 8 Mei: Seramai enam penunggang motosikal termasuk dua remaja ditangkap kerana disyaki berlumba di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak SUPT Bingkok John berkata kesemua suspek merupakan lelaki berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun.

Katanya, mereka ditangkap dalam Op Samseng Jalanan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 1.35 pagi.


“Kesemua suspek dilihat melakukan aksi merbahaya dan bersaing sesama sendiri di jalan raya tersebut dan mereka berjaya ditangkap setelah memberhentikan motosikal di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, keenam-enam suspek kemudian dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek juga dihantar untuk saringan awal air kencing dan keputusannya mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Susulan itu, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pasukan operasi turut menyita 16 buah motosikal, termasuk enam motosikal suspek tadi atas pelbagai kesalahan,” katanya. — DayakDaily