Warga emas maut, dilanggar ketika keluar simpang

Keadaan motosikal dan kereta di kawasan kemalangan.

SERIAN, 7 Jun: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan di kilometer 89 Jalan Kuching-Sri Aman hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa berusia 73 tahun dan berasal dari Kampung Bayor Balai Ringin.

Katanya, semasa kejadian dia menunggang motosikal dan dikatakan keluar melulu dari satu simpang selepas dipercayai membuat pusingan.


“Mangsa dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang P-Turn dan akibat jarak terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Serian.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat kemalangan juga telah dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily