Tujuh ‘hero’ rumah panjang Saratok terima Sijil Penghargaan Bomba

Khirudin (berdiri tiga dari kiri) bersama enam penerima Sijil Penghargaan Hero Bomba. Turut kelihatan Anthony (berdiri kiri sekali).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Jan: Tujuh penduduk rumah panjang Dennis Nyalamba di Sungai Klampai, Saratok yang berjaya memadamkan api daripada memusnahkan rumah panjang mereka hari ini menerima Sijil Penghargaan Hero Bomba.

Menurut Anthony Gasah Ipun, tindakan pantas dan berani mereka telah berjaya mengelakkan api daripada terus merebak.

Katanya, beliau yang bersama lima pemuda rumah panjang terbabit memberi keutamaan untuk memadamkan api yang bermula di tingkat atas sebuah bilik pada 11 Januari lepas.

“Kami tidak menyelamatkan harta dahulu, tetapi memberi keutamaan untuk memadamkan api sebelum ia menjadi lebih besar.

“Saya telah mengarahkan lima pemuda rumah panjang kami untuk segera mengambil alat pemadam api dan terus memadam api.

“Oleh sebab itu rumah panjang kami selamat,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Hero Bomba di Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Enam penduduk rumah panjang yang turut menerima sijil bersama Anthony ialah Asson Juan, Anyai Jingan, Spencer Nanang Anji, Evanda Dana Manan, Evanhoe Melaka Manan dan Sylvester Undi Asson.

Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman.

Menurut Anthony yang berusia 57 tahun, pengetahuan berhubung cara-cara menggunakan alat pemadam api yang diajar anggota dari Balai Bomba Saratok telah membantu menyelamatkan rumah panjang mereka.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 5.04 petang itu hanya membabitkan satu ruang tidur.

Di majlis yang sama, Lowe Lian Khian yang berusia 60 tahun turut menerima Sijil Penghargaan Hero Bomba.

Ini berikutan tindakan berani beliau yang berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun dalam kebakaran di Kampung Cina, Siburan.

Semasa kejadian, kanak-kanak terbabit hanya bersama ibunya di rumah apabila rumah mereka tiba-tiba terbakar iaitu sekitar jam 8 pagi pada 8 Januari lepas. — DayakDaily