Enam ditangkap terlibat dadah di Kampung Segong, Bau

Kesemua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 6 April: Seramai enam lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Kampung Segong, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun ditangkap dalam tiga serbuan berasingan Op Tapis.

Katanya serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah dan telah menahan seorang lelaki yang berada di ruang tamu rumah tersebut sekitar jam 8.30 pagi.


“Serbuan kedua kemudian dijalankan di rumah berasingan dan telah menahan dua lagi suspek iaitu sekitar jam 9 pagi.

“Serbuan ketiga kemudian dibuat ke ke atas sebuah lagi rumah dan telah menahan tiga lagi suspek yang berada di hadapan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kesemua suspek telah menjalani ujian saringan air kencing dan disahkan positif dadah.

“Siasatan awal mereka mengaku telibat dengan dadah sejak setahun lalu kerana pengaruh rakan serta ingin mencuba sesuatu yang baru,” katanya.

Turut dirampas daripada suspek ialah sejumlah dadah.

Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. — DayakDaily