Empat suspek ditangkap terlibat dadah di Bau

Seorang daripada suspek yang ditangkap dan dadah yang dirampas.

BAU, 20 Mac: Empat lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kesemua suspek yang merupakan warga tempatan terbabit ditangkap dalam tiga operasi berasingan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Plaman Sibuluh dan telah menahan seorang lelaki berusia 44 tahun untuk siasatan lanjut selepas saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.


“Operasi selanjutnya dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Grogo dan telah menahan seorang remaja berusia 19 tahun susulan penemuan satu paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah.

“Saringan air kencing juga mendapati remaja terbabit juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala operasi ketiga pula dijalankan di Kampung Kranji, di mana telah menahan dua lelaki berusia 33 tahun yang berada di tepi jalan raya kampung tersebut.

“Kedua-dua suspek kemudian diperiksa, namun tiada barang terlarang ditemui dan seterusnya diarahkan menjalani saringan air kencing yang mana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,

“Jika disabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih Rm100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala suspek pertama dan kedua juga disiasat dibawah seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily