Empat sekeluarga cemas, pokok getah tumbang hempap rumah

Kelihatan pokok getah tumbang hempap sebuah rumah.

BAU, Ogos 28: Empat sekeluarga berdepan detik mencemaskan apabila sebatang pokok getah tumbang lalu menghempap rumah mereka di Kampung Barieng di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua penghuni rumah tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau, Patrick Lagak Pateh berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.15 pagi daripada pemilik rumah berkenaan.

Jelasnya, sebaik menerima maklumat insiden itu, sepasukan enam anggota pertahanan awam diarahkan ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja memotong pokok tumbang tersebut.

“Sebaik tiba di kampung berkenaan, anggota pertahanan awam mendapati pokok getah tumbang itu telah menghempap bahagian dapur kediaman keluarga terbabit.

“Anggota pertahanan awam kemudian melakukan kerja-kerja memotong pokok tumbang itu dengan menggunakan mesin gergaji,” katanya di sini hari ini.

Patrick menambah, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk melakukan operasi memotong pokok tumbang tersebut.

Katanya, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.50 petang.

“Buat masa ini, anggaran kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily