Empat sekawan suspek curi bir, rokok bernilai RM24,000

Kelihatan dua suspek (barisan depan, lima dan enam dari kiri) daripada empat suspek yang ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Sept: Tindakan empat sekawan memecah masuk sebuah kedai menjual minuman keras dan rokok di kawasan Mosjaya di sini pada semalam membawa padah apabila mereka ditahan kurang daripada 10 jam selepas kejadian dilaporkan.

Antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian yang disedari sekitar jam 7 pagi itu adalah lima karton rokok jenama Dunhill dan 250 karton minuman bir.


Anggaran kerugian sekitar RM24,000.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian.

Kesemua suspek yang terdiri dari warga tempatan berusia antara 26 sehingga 41 tahun itu, ditahan dalam satu operasi dinamakan “Ops Pintu” oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri bermula jam 6.30 petang.

Turut dirampas dua buah kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian.

Difahamkan, semasa kejadian, kunci mangga (‘padlock’) kedai terbabit telah dipecahkan oleh suspek sebelum mereka masuk dan melarikan barangan tersebut daripada kedai berkenaan.

Kejadian disedari pekerja kedai tersebut semalam sekitar jam 7 pagi dan beliau segera memaklumkan majikannya. — DayakDaily