Empat rumah di Sungai Apong terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar empat kediaman di Sungai Apong.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Sept 1: Empat buah rumah terbakar dalam satu kebakaran di Jalan Selangan Batu, Sungai Apong di sini tengah malam tadi.

Kebakaran kira-kira pukul 12.20 pagi itu mengakibatkan 11 orang penghuni terjejas akibat rumah mereka dijilat api.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.22 tengah malam.

Katanya, sejurus itu sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman kebakaran.


Seramai 10 anggota bomba dari BBP Padungan juga telah diarahkan ke tempat kejadian sebagai pasukan bantuan pemadaman.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah-rumah di situ.

“Semua penghuni berjaya menyelamatkan diri, begitu juga dengan penghuni yang tinggal berdekatan keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, api kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.06 pagi.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Share this article!