Sembilan penghuni Kpg Sindang Baru tinggal sehelai sepinggang

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Sept 1: Sembilan penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Sindang Baru di sini musnah terbakar pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu telah menyebabkan rumah berkenaan musnah dijilat api 100 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.20 pagi.

Sejurus itu katanya, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah bergegas ke tempat kejadian.

“Enam anggota bomba dari BBP Asajaya juga diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman jenis rumah berkembar 1 tingkat jenis kekal.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Jelasnya, operasi tersebut tamat pada pukul 3.07 pagi.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan,” jelasnya. — DayakDaily