Empat remaja antara 11 individu dikompaun kerana tidak patuh SOP PKPB

Pemeriksaan di dalam premis permainan snooker.

KUCHING, 17 Mei: Seramai 11 individu termasuk empat remaja dikompaun kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar bandaraya ini malam tadi (Ahad).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata empat remaja yang dikompaun berusia 15 hingga 17 tahun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Jelasnya, keempat-empat mereka termasuk seorang ramaja perempuan didapati melakukan kesalahan tersebut di City Square, Jalan Pending pada jam 8.20 malam.

“Mereka dikompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pindaan 2021, (No.21) 2021 kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah.

“Kesemua mereka dibawa balik ke Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pengeluaran kompaun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tujuh lagi individu yang dikompaun juga merupakan warga tempatan berusia 21 hingga 31 tahun yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.

“Mereka dikenakan kompaun kerana berada di sebuah premis permainan jenis Snooker di Jalan Song iaitu sekitar jam 9.05 malam.

“Kompaun dikeluarkan susulan pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Pemantauan IPD Kuching,” katanya.

Tambahnya, kesemua kompaun tersebut perlu dijelaskan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dalam tempoh yang ditetapkan. — DayakDaily