Suspek pukul lelaki di hadapan pasaraya di Bintawa ditangkap

Suspek (tengah) ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 17 Mei: Lelaki disyaki suspek kes pukul seorang lelaki di hadapan sebuah pasaraya di Bintawa baru-baru ini berjaya ditangkap pada malam Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek berusia 23 tahun itu ditangkap di hadapan sebuah hotel bajet di King Centre sekitar jam 11 malam.

Susulan tangkapan tersebut, pihak polis juga berjaya membuat rampasan getah paip yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga 21 Mei untuk siasatan lanjut.

Suspek dikatakan memukul mangsa berusia 29 tahun yang dituduh mencuri di pasaraya tersebut dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang pada 9 Mei.

Mangsa melalui video yang tular di media sosial dilihat dipukul menggunakan objek kayu dan getah paip sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan belakang badannya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau sebat. ā€” DayakDaily