Empat penjenayah bersenjatakan parang diburu polis selepas rompak rumah guru

Rumah mangsa yang diceroboh penjenayah.

SERIAN, Mac 5: Polis kini sedang memburu empat penjenayah yang menceroboh masuk rumah seorang guru di Kampung Bunga Raya di Tangga Bypass di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu telah mengakibatkan seorang guru mengalami kerugian selepas suspek melarikan kereta Toyota Spacio, dompet, barangan kemas, komputer riba dan tablet milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp. Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati suspek telah menceroboh masuk rumah mangsa menerusi pintu belakang yang tidak berjeriji.


Jelasnya, suspek kemudian dikatakan mengikat mangsa menggunakan tali nilon sebelum menyelongkar kediaman guru berusia 38 tahun tersebut.

“Semasa kejadian, guru terbabit dikatakan berada di rumah tersebut seorang diri dan sedang tidur ketika kumpulan penjenayah itu menceroboh masuk rumahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aswandy menambah, pihak polis kini sedang melancarkan gerakan memburu keempat-empat suspek.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily