Empat murid dakwa ditampar, buat laporan polis

PDRM logo

SONG, Ogos 3: Empat murid di sebuah sekolah rendah di sini tampil membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang pembantu pengurusan murid di sekolah berkenaan.

Keempat-empat murid yang ditemani ahli keluarga masing-masing tampil membuat laporan polis di Balai Polis Song, semalam.

Ketua Polis Daerah Song, DSP Azhar Abu Bakar berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian di didakwa berpunca daripada keempat murid berkenaan menegur lelaki berusia 30 tahun itu yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Katanya, berang dengan tindakan murid-murid berkenaan yang menegur dirinya, lelaki berkenaan kemudian didakwa menampar empat murid berkenaan.

“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan perubatan bagi menentukan kecederaan yang dialami keempat-empat murid terbabit,” katanya hari ini.

Azhar menambah, pihak polis telah merakam keterangan daripada pembantu pengurusan murid tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. — DayakDaily