SMA komited selesaikan masalah akses internet di dua sekolah Majlis Agama Islam di Samarahan

Zaidi (enam kiri), Ustaz Khalidi dan Ibrahim (lima kiri) merakam kenangan selepas kunjungan hormat JAIS terhadap SMA di Kuching.

KUCHING, 8 Feb: Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan memastikan dua buah sekolah di bawah Majlis Islam Sarawak di Bahagian Samarahan mendapat akses Internet.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, pihaknya akan mendapatkan penyedia perkhidmatan jalur lebar bagi memastikan proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, dua daripada sebelas buah sekolah di bawah Majlis Islam Sarawak itu mengalami masalah rangkaian jalur lebar dan ia perlu diselesaikan dengan segera.

“Justeru, tindakan terdekat yang dilakukan oleh kita ialah untuk mendapatkan maklum balas terkini daripada syarikat memberi perkhidmatan dalam usaha membantu menyediakan rangkaian jalur lebar pantas kepada dua buah sekolah terbabit.

“Malah, inisiatif menyediakan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh Sarawak adalah perkara yang amat dititikberatkan melalui Pelan Strategi Pembangunan Sarawak 2030 pasca-Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada rombongan Majlis Agama Islam yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Ustaz Khalidi Ibrahim di Pejabat SMA di sini, semalam.

Tambah Zaidi, penyediaan perkhidmatan jalur lebar telah digariskan di dalam dua sektor kekunci penggerakekonomi digital iaitu pembangunan modal insan dan pendidikan serta keterangkuman sosial.

Oleh itu, Zaidi menegaskan bahawa SMA komited untuk memastikan rangkaian jalur lebar bagi dua buah agama berkenaan dinaik taraf dengan kadar segera oleh penyedia perkhidmatan. — DayakDaily