Empat lelaki ditangkap sedang leka menagih dadah di Kg Bogag, Bau

Suspek-suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

BAU, 19 Nov: Sebuah rumah di Kampung Bogag, di sini diserbu dan empat lelaki tempatan ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah semalam.

Keempat-empat suspek yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun samasa ditangkap dipercayai sedang leka menagih dadah sekitar jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata serbuan dilakukan oleh BSJN IPD Bau hasil daripada maklumat risikan yang dibuat.


“BSJN IPD Bau telah membuat pemeriksaan dan berjaya memberkas empat lelaki yang sedang leka tanpa menyedari kehadiran polis.

“Hasil pemeriksaan, seorang daripada suspek telah menyerahkan satu peket plastik lutsinar (berat kasar 0.14gram) berisi ketulan Kristal putih disyaki dadah berbahaya kepada pihak polis dan mengaku ada mengambil dadah.

“Tiga lagi suspek yang lain juga mengaku terlibat dalam pengambil dadah terlarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Pejabat Narkotik untuk ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian mendapati kesemua positif dadah.

“Kesemua suspek mengaku mengambil dadah sebelum kehadiran polis ditempat kejadian,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan dibawah Sek. 12(2) Akta dadah berbahaya 1952 dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“BSJN akan sentiasa menjalankan rondaan dan pemeriksaan di sekitar kampung bagi membendung aktiviti dadah dan penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat setempat,” tegas Poge. — DayakDaily