Lelaki disyaki pengedar dadah ditangkap di Kampung Sungai Bari, Serian

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

SERIAN, 28 Mac: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kampung Sungai Bari, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata suspek, 28 tahun ditangkap sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian yang melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di kampung tersebut.

Katanya, suspek ketika itu sedang berada di ruang tamu rumah dan cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.


“Pihak polis kemudian menjalankan pemeriksaan dan telah menjumpai satu paket plastik dan terdapat 28 tiub straw pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek kemudian ditangkap dan dadah keseluruhanya yang dianggarkan seberat 8.0 gram juga dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan telah disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika didapati bersalah, suspek akan dihukum penjara, disebat dan didenda. ― DayakDaily