SERIAN, 19 Jan: Empat warga tempatan termasuk seorang wanita dipercayai pemilik dan penjaga sebuah premis disyaki menjual dan menyimpan minuman keras serta rokok tanpa cukai Kastam ditangkap di sini semalam.
Pasukan Polis Marin Sarawak Wilayah 5 menerusi laman Facebooknya berkata serbuan Op Kontraban itu dijalankan hasil daripada maklumat serta risikan Unit Risik Marin.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas premis itu mendapati penjaga premis gagal mengemukakan sebarang dokumen sah ke atas minuman dan rokok tersebut.
Kesemua barangan yang dianggarkan bernilai lebih RM292,000 itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily