Empangan Bengoh kukuh dan stabil, kata Dr Jerip

Empangan Bengoh

KUCHING, Julai 31: Masyarakat setempat yang menetap berhampiran kawasan Empangan Bengoh diminta tidak panik dengan dakwaan kemungkinan empangan tersebut pecah akibat keretakan yang berlaku pada struktur dindingnya.

Menteri Muda Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, struktur fizikal empangan yang menakungkan 144 juta meter kubik air itu adalah kukuh dan stabil.

Malah katanya, ianya (empangan) bukannya retak atau bocor seperti yang didakwa dan ditularkan oleh dalam media sosial baru-baru ini.


“Jadi, hentikanlah untuk menular dakwaan Empangan Bengoh itu tidak selamat dan dipercayai akan pecah.

“Sebenarnya, latihan kecemasan yang dilakukan pada Ahad lalu adalah sebagai memenuhi tahap keselamatan antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, pakar perunding empangan dari Halcrow Consultant, United Kingdom telah memberi jaminan bahawa struktur pembinaan empangan konkrit yang bernilai RM310 juta itu adalah kukuh dan stabil.

Reka bentuk dan pembinaan empangan itu dilakukan pakar pembinaan empangan antarabangsa berpengalaman dari United Kingdom dan pakar kontraktor empangan dari China yang telah membina lebih dari 200 empangan di seluruh dunia bersama dengan kontraktor tempatan yang berkaliber.

Di samping itu, reka bentuk empangan tersebut juga telah disemak oleh pakar empangan berkecuali yang dilantik dari Australia.

Pelan tindakan kecemasan juga telah disediakan untuk Empangan Bengoh berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi empangan-empangan yang dibina di seluruh dunia.

Pemantauan berkala terhadap pergerakan struktur empangan untuk memastikan keselamatan juga telah dilakukan sejak peringkat awal pembinaan dan diteruskan mengikut SOP yang ditetapkan.

Sekiranya ada situasi kecemasan di luar jangkaan, pihak-pihak berkenaan termasuk penduduk yang terlibat akan dimaklumkan serta-merta dan pelan pemindahan akan dijalankan.

Segala prosedur adalah termaktub dalam pelan tindakan kecemasan dan Empangan Bengoh telah beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2015.

Antara kampung yang terletak di sekitar empangan tersebut ialah Kampung Bengoh, Kampung Danu, Kampung Semadang, Kampung Giam Asar, Kampung Giam Bauh, Kampung Benuk dan Kampung Git. — DayakDaily